Intifada baharu menuju pembebasan

Intifada baharu menuju pembebasan 
Muslim Imran

*Dikeluarkan oleh Sinar Harian pada 3-11-2015

Beberapa minggu kebelakangan ini, gelombang intifada (kebangkitan) Palestin dilihat semakin memuncak selepas sekian lama berlakunya intifada kedua iaitu pada 2005. 
Bahkan sehingga hari ini, mereka tetap terus memperjuangkan hak mereka sehingga tercetusnya intifada kali ini. Memanjangkan lagi catatan revolusi kebangkitan rakyat Palestin dalam sejarah moden di bumi Palestin.
Mungkin ada sebahagian yang mengikuti rentetan sejarah tersebut akan tertanya-tanya, mengapakah Palestin masih belum beroleh kemerdekaan meskipun begitu besarnya pengorbanan telah dilakukan rakyat Palestin sepanjang hampir satu abad? 
Mengapa bangsa-bangsa lain boleh mencapai kemerdekaan sedangkan rakyat Palestin masih lagi di takuk sama? Biarpun persoalan ini penting untuk diutarakan, hakikatnya api kebangkitan intifada di al-Quds dan Tebing Barat terus berlaku dengan begitu pantas, mendorong kita melihat sebuah usaha merealisasikan cita-cita rakyat Palestin, sekali gus menguatkan jati diri sesebuah bangsa walau begitu besarnya pengorbanan telah dilakukan.
Hakikatnya, salah satu perkara penting berkaitan perjuangan rakyat Palestin adalah bermula daripada pembahagian kuasa antarabangsa ke atas negara ini pada pertengahan kurun yang lalu. Memperlihatkan bagaimana usaha rakyat Palestin dan negara-negara Arab bertempur selama hampir tujuh dekad untuk mengembalikan semula hak rakyat.
Namun sehingga hari ini, pendudukan atau kolonisasi Israel Zionis ke atas tanah mereka dilihat masih tiada menemui jalan penyelesaian. Ini bukan hanya kerana dasar penjajahan atau imperialisme yang dikenakan ke atas Palestin. Bahkan ia berkait secara tidak langsung dengan kuasa besar antarabangsa dunia kini. 
Justeru, kunci untuk mengubah perkara ini adalah berlakunya perubahan pada kuasa-kuasa besar yang ada walau ia sesuatu yang di luar jangkaan berdasarkan realiti semasa.
Dalam hal ini, antara strategi yang dilaksanakan saat ini adalah usaha berterusan rakyat Palestin dalam memperjuangkan hak mereka. Selain usaha yang dilakukan di peringkat antarabangsa sama ada daripada individu mahupun institusi yang menyokong hak dan perjuangan rakyat Palestin. Sebagai contoh, lahirnya pergerakan atau usaha memboikot, melupus dan menyekat ekonomi Israel Zionis yang dipanggil Boycott, Divest Sanctions (BDS) secara besar-besaran secara tidak memberi kesan buruk kepada mereka. Sebagaimana suatu masa dulu ianya pernah digunakan untuk menghapuskan dasar aparteid di Afrika Selatan di peringkat antarabangsa.
Selain itu, perubahan iklim negara serantau juga memberi kesan kepada keadaan Palestin hari ini. Walau konflik dan pergolakan ada kalanya mengundang keprihatinan dan kebimbangan negara Arab lain. Namun, tetap isu ini tidak menjadi keutamaan bagi mereka.
Lalu, apa yang diperlukan Palestin dalam tempoh kritikal ini adalah sokongan moral dan pengaruh bersama dalam kita memperjuangkan hak mereka. Sepertimana terkesannya intifada pertama dan kedua serta perang ke atas Gaza (ketiga) memperlihatkan kebangkitan Hamas dan warga Arab umumnya. Secara tidak langsung memperlihatkan bagaimana revolusi Arab telah memberi kesan positif pada hak-hak Palestin, terutamanya golongan pemuda yang mendukung pergerakan yang membawa kepada berlakunya intifada.

Intifada dinanti!

Intifada yang berlaku saat ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana ia adalah tindak balas atau kesan daripada apa yang berlaku pada rakyat Palestin. Antara puncanya, termasuklah kegagalan usaha politik Presiden Mahmud Abbas, kemerosotan ekonomi secara mendadak. Ditambah pula tekanan psikologi dihadapi rakyat Palestin yang hidup mereka teraniaya di bawah pemerintahan bersifat perkauman. 
Tanah yang sewenang-wenangnya dirampas oleh pihak penceroboh benar-benar mencabar kesabaran rakyat Palestin seumpama bom jangka yang pada bila-bila masa akan meletup. Dan inilah sebenarnya yang berlaku!
Tercetusnya intifada yang akibatnya masih tidak diketahui ini menuntut ahli-ahli politik Palestin yang terdiri daripada pelbagai ideologi dan kumpulan duduk semeja untuk membincangkan secara kritikal tuntutan dan impian rakyat Palestin ke arah memperoleh kebebasan dan kemerdekaan. 
Usaha untuk merealisasikan cita-cita tersebut perlulah melalui pengalaman perjuangan bangsa-bangsa lain, yang mampu memberi pengajaran dan inspirasi pada sejarah perjuangan panjang rakyat Palestin itu sendiri.
Dalam hal ini, situasi Palestin cukup berbeza dengan apa yang dilalui bangsa-bangsa lain memandangkan sebahagian besar yang dijajah itu memperoleh kemerdekaan menerusi perjuangan rakyat, bukannya kekerasan seperti negara India, Malaysia, Sudan dan lain-lain. 
Pencerobohan Yahudi ke atas tanah Palestin, ditambah lagi penjajahan yang bersifat kolonisasi dan eksistensial (keberadaan), membawa kepada keganasan dan kekerasan. 
Intifada Pertama tercetus apabila Perjanjian Oslo menemui jalan buntu, yang kemudian ditubuhkan pemerintahan Palestin (PA). Kesan daripada Intifada Kedua pula menyaksikan rejim Zionis berundur dari Gaza. Usaha ini memberi tumpuan untuk menghentikan pencerobohan di Tebing Barat dan membuka kepungan terhadap Gaza sebagai salah satu strategi yang dituntut bagi usaha optimum untuk situasi saat ini.
Bagi memastikan strategi ini berjaya, pentingnya untuk mendapatkan pengiktirafan dan sokongan antarabangsa untuk menubuhkan negara Palestin. Secara kolektif perkara ini lebih kepada mempengaruhi individu atau kumpulan yang boleh memberi kesan dalam perubahan keputusan Zionis serta pandangan umum yang mengarahkannya. Agar mereka berundur dari Tebing Barat dan mengosongkan pendudukan mereka di sana.

Bawa kebaikan 

Dalam konteks ini, adalah sangat penting untuk kita mengkaji kemungkinan tercapainya tujuan intifada. Ini kerana, banyaknya usaha-usaha telah terbina sama ada melalui individu atau kumpulan dan kemuncaknya adalah pada kebangkitan rakyat seluruhnya dalam menyerang keamanan Zionis.  Apakah ia dapat memberi kesan pada Zionis, secara tidak langsung membawa keuntungan kepada rakyat Palestin?
Jika dilihat, kebanyakan definisi keamanan adalah menjaga kemaslahatan dan nilai-nilai, dari mana-mana ancaman. Maka, sama ada kita melihat konsep keamanan dari sudut pandang peribadi, masyarakat, atau negara, sesungguhnya intifada yang berlaku saat ini telah berjaya dalam menggugat keamanan Zionis dalam bentuk tertentu. 
Pada hari ini kita dapat melihat ratusan aksi-aksi penikaman, tembakan bersenjata, aksi lempar batu dan molotov bagi mengancam kepentingan masyarakat Zionis. Inilah perkara yang mungkin boleh disampaikan untuk menekan dan mempengaruhi para pembuat keputusan dari pihak Zionis agar mereka menghentikan penjajahan dan kekerasan sekiranya mereka ingin mendapatkan kembali keamanan.
Di samping itu, penting di sini menyebutkan bentuk kepentingan-kepentingan dan nilai-nilai Zionis itu sendiri. Zionis yang terbina dengan kisah tanah, daging dan madu yang dijanjikan bagi bangsa ALLAH SWT yang terpilih. Demi mewujudkan mimpi ini, generasi-generasi awal Zionis telah mengorbankan banyak hal di peringkat peribadi mahupun kumpulan tertentu.
Saat itu, nilai pengorbanan untuk mewujudkan projek Zionis tersebut adalah bersifat peribadi dan kelompok yang penting bagi kelompok pengasas. Akan tetapi seiring masa dan munculnya generasi-generasi Zionis yang baharu, tidak ada lagi peranan terhadap rancangan Zionis tersebut selain banyaknya harta dan hidup dengan aman, yang turut berperanan dalam apa yang diasaskan di dalam perjanjian Oslo. 
Ini bermaksud golongan Zionis sendiri telah berubah dan nilai-nilai yang mereka yakini juga telah berubah, sehingga mereka hari ini tidak lagi berperang sebagaimana yang dilakukan datuk dan nenek moyang mereka dahulu.
Ringkasnya, generasi Zionis sekarang ini adalah generasi penakut yang bimbang harta benda mereka diancam. Mereka sedia berkorban tetapi perlulah dengan jaminan harta benda, misalnya dengan ketenangan dan kesejahteraan ekonomi. 
Melalui kaji selidik akhbar Ma’arif baru-baru ini menyatakan bahawa sebanyak 66 peratus daripada masyarakat Yahudi Israel setuju untuk menarik diri dari penempatan-penempatan Arab di Al-Quds. Hal ini menjadi kayu ukur yang jelas bahawa tekanan dan ancaman boleh membawa kepada perundingan untuk berundur dari penjajahan.
Ini dapat dilihat ketika baru-baru ini sebahagian besar orang-orang Israel mendakwa bahawa Al-Quds adalah ibu kota abadi untuk Zionis. Namun mendakwa yang sebaliknya kurang dari sebulan apabila tercetusnya intifada Al-Quds.
Adapun bagi bangsa Palestin sendiri, mereka tidak mempunyai banyak permasalahan jika terjadi penentangan. Hak-hak, kepentingan dan nilai-nilai bangsa Palestin pada dasarnya dibolehkan dan intifada tidak memberikan ancaman apa pun terhadap mereka. 
Kesimpulannya, yang dituntut sekarang adalah intifada ini akan berterusan menjaga, meningkatkan serta membina cita-cita dan impian rakyat Palestin. 

Muslim Imran          
Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM)

Comments

Popular Posts