Ramalan arah tuju dasar luar Trump

Ramalan arah tuju dasar luar Trump
MUSLIM IMRAN
Dikeluarkan oleh Utusan pada 08 Disember 2016.

KEMENANGAN calon bukan dalam kalangan ahli politik pada pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS), 8 November lalu mendorong munculnya pelbagai ramalan terhadap perubahan dasar politik luar dan pembentukan hubungan Amerika Syarikat (AS) dengan negara-negara lain.
Malah, pemikir terkenal AS dalam bidang sosiologi, Francis Fukuyama berpendapat kemenangan Trump ‘menggambarkan titik perubahan pemisah bukan sahaja dari segi politik AS bahkan membabitkan sistem antarabangsa secara menyeluruh.’ Dunia pada hari ini bagi Fukuyama-hidup pada detik bersejarah yang kritikal sama seperti detik runtuhnya tembok Berlin pada 1989.
Ia bukan sekadar pandangan peribadi Fukuyama, bahkan sejak akhir-akhir ini tersebar analisis daripada pakar hubungan antarabangsa serta dasar luar AS yang membincangkan secara jelas tentang bakal berlakunya perubahan pada dasar luar negara itu, sekali gus melibatkan perubahan sistem dunia.
Antara perubahan terbesar itu adalah tamatnya era sistem pemerintahan dunia liberal yang bertahan selama lebih 70 tahun, maka bermulalah era baharu nasionalis-populis. Perubahan besar ini akan memberi kesan kepada isu antarabangsa memandangkan AS masih lagi kuasa besar tunggal. Pemerhatian terhadap perubahan ini akan menjadi perkara penting bagi mana-mana pengikut isu antarabangsa, serantau dan tempatan.
“Jangan percaya pada sesiapa yang mendakwa mereka ­mengetahui apa akan dilakukan oleh Trump, walaupun nama orang itu adalah Donald Trump!” Begitulah yang disimpulkan pengarah penyelidikan hubungan luar negara bagi Kesatuan Eropah, Jeremy Shapiro mengenai arah tuju dasar politik presiden baharu AS itu.
Walaupun Trump sudah membuat pengesahan mengenai beberapa perkara utama termasuk berhubung isu pendatang tanpa izin, mempercepatkan penghapusan Daesh, mengkaji semula kontrak perjanjian perdagangan antarabangsa (TPP) serta naik taraf keupayaan ketenteraan AS, walau bagaimanapun ia masih samar bahkan adakalanya berubah!
Bagi pakar dan penganalisis politik luar, situasi membingungkan ini berpunca daripada presiden yang dipilih baru-baru ini tidak mempunyai pengalaman dalam bidang politik yang boleh dijadikan sebagai kayu pengukur.
Walaupun dasar luar Trump masih samar, namun secara umumnya kita boleh mengetahui tentang arah tuju akan datang dengan meneroka kesimpulan daripada puluhan ucapan umum, temubual, debat presiden, dan tulisan propaganda yang menggambarkan pertambahan penyelidik serta pengikut sehinggalah beliau (Trump) mengambil alih tampuk pemerintahan di Rumah Putih. Pada waktu itu, barulah jelas kepada kita sama ada artikel tersebut adalah pemerhatian yang betul atau sekadar ramalan!
Anda mungkin boleh mengikuti secara umum arah tuju presiden Trump terhadap dasar luar, antaranya:
Mengikuti pentafsiran realisme klasik pada dasar politik luar yang membawa kepada peningkatan nilai kuasa dan kekuatan. Pendekatan ini dapat dilihat dengan jelas dalam dialog-dialog Trump yang banyak memperkatakan tentang naik taraf struktur dan senjata tentera AS untuk menjadi tentera yang paling kuat dalam sejarah negara itu. Oleh itu, kejayaan dasar luar bagi Trump bermula dengan kewujudan tentera yang kuat.
Kebergantungan pentafsiran yang sempit terhadap konsep ‘Kepentingan rakyat AS’, secara langsung memberikan keutamaan maksimum terhadap keamanan dan ekonomi rakyat AS. Pada masa sama, mengurangkan keutamaan beberapa strategi tradisi Amerika seperti mengekalkan sistem antarabangsa yang liberal dan menyebarkan nilai-nilai demokratik serta bekerja melalui institusi-institusi antarabangsa termasuk terlibat dalam perjanjian perdagangan antarabangsa dan dasar-dasar lain yang diwarisi.
Berdasarkan pemahaman yang sempit berkaitan kepentingan bangsa, Trump menuju ke arah pergerakan secara unilateral dalam beberapa isu antarabangsa termasuk perjuangan menentang keganasan dan perdagangan antarabangsa. Pendekatan ini bertentangan dengan dasar luar Obama. Sepanjang pemerintahan Obama selama lapan tahun, AS berusaha untuk memulihkan kedudukan dan status institusi antarabangsa yang telah diabaikan oleh Bush.
Pendekatan ini mungkin berubah sekiranya melihat kepada ucapan Trump yang menunjukkan beliau cenderung untuk mengabaikan perhubungan antarabangsa, sebaliknya mengutamakan pentafsiran realisme klasik bagi hubungan AS dengan dunia luar. Sebagai contoh, realisme klasik percaya bahawa sistem globalisasi adalah huru-hara dan tiada yang mengawalnya. Oleh itu, semua negara mestilah berusaha melindungi diri mereka sendiri, sementara semua institusi antarabangsa adalah alat semata-mata bagi negara-negara yang berkepentingan.
Malah, pentadbiran Trump juga tidak akan mengambil kira persoalan tentang pencabulan hak asasi manusia di negara-negara dunia ketiga selagi ia tidak menjejaskan keselamatan rakyat AS. Bagi Trump, tidak mengapa melaksanakan undang-undang rejim Assad bagi menangani Daesh dan tiada halangan sekiranya mengabaikan isu-isu yang masih terdapat dalam agenda AS yang sudah berlarutan bertahun lamanya, sebagai contoh isu Tibet, demi keuntungan komersial dalam hubungan dengan China.
Selain itu, Trump berpendapat bahawa negara yang mendapat perlindungan ketenteraan daripada AS seperti Jepun, Korea Selatan, Arab Saudi dan Jerman perlu membayar perkhidmatan perlindungan tersebut! Orientasi baharu ini bertentangan dengan format diplomasi AS yang diwarisi iaitu meninggikan nilai saling mempercayai dengan sekutunya.
Antara perkara yang perlu diketahui adalah Trump membantah pencerobohan di Iraq, tetapi penentangannya bukan disebabkan nilai-nilai moral. Perkara itu, dapat disahkan apabila beliau bercakap mengenai keperluan untuk mengeksploitasi minyak di Iraq bagi menampung kos peperangan tersebut. Trump turut berkata: ‘Jika anda mencuri, curilah unta!’. Jadi tidak mustahil berkemungkinan berlaku campur tangan ketenteraan AS secara langsung dalam beberapa kes berkecuali. Seperti kes Daesh, Trump mencadangkan di dalam bukunya Crippled Amerika: How to Make America Great Again, campur tangan AS perlu dilakukan segera untuk menghapuskan semua terlibat yang dianggarkan seramai kira-kira 30,000 ke 50,000 orang!
Secara amnya, arah tuju Trump yang disiarkan bukan bertujuan menghidupkan politik lama AS yang ‘asing’, melainkan pemerhatian daripada buah fikiran lelaki tersebut dan ucapannya menunjukkan bahawa beliau tetap akan mengambil laluan ini walaupun hanya sebahagian daripadanya.
Kekaburan dalam membuat keputusan dan dasar luar yang bertujuan menafikan segala keupayaan seteru, pemerhati mendapati pandangan Trump terhadap dasar luar adalah seperti satu rantaian transaksi perniagaan, di mana kejayaan perlu dicapai dalam rundingan tersebut untuk mengekalkan kerahsiaan maklumat dan arah tuju agar keputusan yang dibuat terjamin kekuatannya.
Malah kemungkinan bakal di­hadapi oleh ahli politik AS yang bekerja dengan Trump, adalah beliau begitu yakin dengan pemikirannya sendiri walaupun tidak memiliki pengetahuan berkaitan isu-isu antarabangsa! Dalam satu wawancara akhbar awal tahun ini apabila ditanya mengenai penasihatnya dalam dasar politik luar, beliau menyatakan bahawa ‘beliau adalah penasihat dirinya sendiri yang pertama!’ Kenyataan sedemikian dan seumpamanya menunjukkan beliau memiliki tahap keyakinan yang tinggi pada diri sendiri.
Kurang pengalaman dalam bidang politik luar, ditambah rasa cinta pada diri sendiri, lelaki tersebut perlu berdepan dengan beribu-ribu diplomat profesional yang menggubal dan melaksanakan dasar luar Washington.

Comments

Popular Posts