Adakah Hamas pengganas?

Adakah Hamas pengganas?

MUSLIM IMRAN

*Dikeluarkan oleh Sinar Harian pada 18 Mac 2015

PADA 2 Mac lalu, Mahkamah Hal Ehwal Penting Kaherah memutuskan bahawa Hamas adalah sebuah pertubuhan pengganas.

Keputusan ini dibuat selepas berbulan lamanya kerajaan Mesir mengharamkan pergerakan rakyat Palestin dan menyita semua harta mereka di Mesir.

Keputusan ini dan lain-lain dasar yang digubal kuasa Mesir terhadap Hamas menimbulkan persoalan: Adakah Hamas benar-benar sebuah pertubuhan pengganas?

Gerakan Penentangan Islam (Hamas) telah ditubuhkan pada akhir 1980-an oleh sekumpulan aktivis Palestin.

Gerakan ini muncul bersama-sama tercetusnya Intifada Palestin Pertama pada tahun 1987. Intifada bermula 8 Disember 1987 dan pada 14 Disember tahun yang sama Hamas mengeluarkan kenyataan akhbar yang pertama.

Ketika penubuhan Hamas, pada masa sama Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) mula mengambil langkah secara diplomatik untuk menyelesaikan konflik Arab-Israel, yang mana ia menepati kehendak rakyat Palestin untuk mengekalkan perjuangan bersenjata sebagai salah satu strategi penentangan yang  berkesan.Sementara Hamas menjelaskan, suatu hari nanti undang-undang antarabangsa berkaitan pasti memberi jaminan bahawa perjuangan bersenjata adalah hak bagi mereka yang diceroboh.

Pergerakan itu turut menegaskan bahawa mereka (Hamas) akan terus menggunakan strategi ini bersama-sama pejuang lain dalam usaha untuk membebaskan bumi Palestin.

Walaupun Hamas amat bersungguh-sungguh meneruskan perjuangan bersenjata, namun mereka bukanlah pergerakan pertama yang memilih strategi itu sebagai jalan terbaik. Sebaliknya, Pergerakan Pembebasan Kebangsaan Palestin (Fatah) yang ditubuhkan pada 1959 adalah antara yang pertama memilih perjuangan bersenjata dalam menyelesaikan masalah Palestin.

Pergerakan itu adalah gabungan daripada pergerakan-pergerakan lain termasuk nasionalis, haluan kiri dan Islam yang mendukung perjuangan bersenjata untuk menentang pencerobohan Israel.

Strategi sama

Malah, ini juga strategi yang diguna pakai oleh kumpulan Palestin dan Arab terdahulu bagi menangani pencerobohan Israel di Palestin pada tahun 1948.

Walaupun fakta membuktikan bahawa kebanyakan puak Palestin menggunakan strategi yang sama, namun Mesir hanya menyenaraikan Hamas sebagai pertubuhan pengganas!

Menariknya, pada separuh pertama abad ke-20, Mesir sendiri memilih menggunakan perjuangan bersenjata dalam revolusi menentang penjajahan British.

Adakah Mesir juga adalah pengganas kerana memilih cara ini?

Dan adakah pemerintah Mesir sekarang merancang untuk mengetepikan sejarah dan menulis semula sukatan pelajaran sekolah dengan mendefinisikan pengganas mengikut kesesuaian pada masa sekarang?

Seperti didakwa pemerintah Mesir hari ini, antara alasan utama mereka menentang Hamas dan secara umumnya Semenanjung Gaza adalah disebabkan Hamas terlibat dalam hal ehwal dalaman Mesir.

Dakwaan ini adalah berdasarkan andaian bahawa Hamas berpegang teguh kepada ideologi Ikhwanul Muslimin, jadi secara tidak langsung Hamas berpihak kepada Ikhwanul Muslimin.

Ketepikan fakta bahawa Ikhwanul Muslimin Mesir adalah kerajaan sah yang dipilih secara demokrasi sebelum digulingkan melalui rampasan kuasa oleh jeneral tentera, dan tidak perlu dinyatakan betapa sederhananya fahaman yang dipegang Ikhwanul Muslimin.

Ini membuktikan bahawa Palestin atau Hamas tidak terlibat langsung dalam mana-mana urusan dalaman seperti yang didakwa kerajaan Mesir.

Hamas telah berulang kali menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan mana-mana agensi keselamatan Mesir atau suruhanjaya untuk menyiasat dakwaan Mesir, tetapi tidak pernah dilayan.

Malah, pergerakan itu juga mempunyai rekod bersih kerana tidak pernah campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara-negara lain.

Pergerakan itu juga menekankan dasar mereka yang tidak akan menyerang Israel kecuali di tanah rakyat Palestin yang diduduki. Justeru, bagaimana sebuah pergerakan yang berusaha mempertahankan tanah air mereka daripada diceroboh dituduh membuang masa dan berusaha untuk campur tangan dalam hal ehwal  negara-negara lain?

Keadaan ekonomi, politik dan keselamatan di Mesir membawa kepada kesimpulan bahawa kerajaan itu memerlukan musuh yang kononnya ‘lemah’ untuk menutup kelemahan dan masalah dalaman dengan menyalahkan pihak tersebut di atas ketidakupayaan mereka untuk mengekalkan keselamatan kerajaan serta kestabilan di negara terbabit.

Sebagai usaha untuk menutup kelemahan itu, kerajaan Mesir telah melancarkan kempen media terhadap hampir kesemua negara jirannya terutama Gaza dan Libya.

Serang Libya

Beberapa bulan lalu, media arus perdana Mesir menyeru askar-askar Mesir untuk menyerang  Gaza dan Libya.

Seruan itu dijawab beberapa minggu lalu, apabila tentera udara Mesir mengebom Libya sebagai tindak balas atas pembunuhan kejam puluhan warga Kristian Koptik Mesir di Libya.

Tempoh masa dan pendekatan yang digunakan oleh kerajaan Mesir dalam menangani jenayah ini menimbulkan persoalan apakah tujuan sebenar menyerang Libya, memandangkan rampasan kuasa tentera Haftar gagal untuk mengambil-alih Libya.

Sementara di Gaza, Mesir telah membuatkan kehidupan penduduk Gaza terus terasing berikutan penutupan sempadan Rafah (satu-satunya cara Gaza berhubung dengan dunia luar) yang berterusan.

Kerajaan Mesir melabelkan Hamas sebagai pengganas tetapi pihaknya terus-terusan menghukum 1.8 juta rakyat Palestin yang tinggal di Gaza.

Dengan mengandaikan bahawa keahlian Hamas di Gaza boleh mencecah satu juta (bilangan yang hampir mustahil), namun mengapa selebihnya 800,000 rakyat Palestin yang tinggal di Gaza turut dikepung dan dihina?

Sejak tahun 2007, lebih daripada 300 rakyat Palestin Gaza meninggal dunia di sempadan Rafah berikutan kekurangan rawatan perubatan dan bekalan.

Terus cabul undang-undang

Sehingga hari ini Mesir terus melanggar undang-undang antarabangsa dengan menutup sempadan Rafah hampir setiap hari dalam setahun.

Hamas telah dipilih pada tahun 2006 dalam pilihan raya demokrasi telus, di mana ia memperolehi 64 peratus daripada jumlah kerusi, dan oleh itu ia mewakili sebahagian besar rakyat Palestin (atau sekurang-kurangnya seorang pengundi).

Justeru, menyenaraikan Hamas sebagai organisasi pengganas adalah amat tidak menghormati keputusan rakyat Palestin yang memilih pucuk pimpinan mereka sendiri.

Ia juga secara tidak langsung satu penghinaan buat rakan-rakan dan sekutu gerakan kebangsaan Palestin apabila Hamas disenaraikan sebagai pertubuhan pengganas oleh kerajaan Arab-Islam.

Kesimpulannya, Hamas adalah salah satu pergerakan pejuang Palestin utama yang menjadi harapan kepada rakyat Palestin membebaskan negara mereka, sekali gus untuk memperoleh kemerdekaan.

Apa yang diharapkan oleh rakyat Palestin daripada masyarakat di seluruh dunia supaya terus menyokong perjuangan Hamas dan puak-puak Palestin lain.
Malah, menyenaraikan Hamas sebagai organisasi pengganas merupakan pengkhianatan ke atas perjuangan rakyat Palestin.

MUSLIM IMRAN
Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM)

Comments

Popular Posts