AL-QASSAM HARAPAN RAKYAT PALESTIN

AL-QASSAM HARAPAN RAKYAT PALESTIN

MUSLIM IMRAN

*Dikeluarkan oleh Utusan Melayu pada 05 Mac 2015

SEJAK Palestin diduduki penceroboh asing (Israel), rakyatnya sentiasa berusaha membebaskan tanah air mereka dengan segala usaha sama ada dari segi politik dan diplomatik termasuklah perjuangan bersenjata.

Namun, kebiasaannya usaha secara diplomatik tidak berhasil disebabkan sikap tamak dan degil pihak berkuasa Israel dan perjuangan bersenjata adalah lebih berkesan.

Perjuangan bersenjata yang dilaksanakan pada abad ke-20 seperti Revolusi Alburaq (1929), Mass Strike (1936), Revolusi Palestin (1960-an), Intifada Pertama 1987, Intifada Kedua 2000, tiga siri peperangan Gaza pada 2008/2009, 2012 dan 2014, serta Intifada Jerusalem (2014) telah terbukti berkesan.

Justeru, Hamas (singkatan bagi Harakat al-Muqawamah Al-Islamiah) yang ditubuhkan pada 14 Disember 1987 muncul sebagai manifestasi terbaharu untuk terus memperjuangkan pembebasan Palestin. Pergerakan itu merupakan satu-satunya cara bagi rakyat Palestin memilih bagi menyokong mana-mana pejuang untuk membebaskan tanah air mereka.

Dalam hal ini, Hamas ternyata memihak kepada perjuangan bersenjata, sekali gus membentuk sayap tenteranya sendiri iaitu Briged Izzudin al-Qassam untuk mencapai agenda mereka. Briged al-Qassam ditubuhkan pada 1992 menggantikan dua kumpulan tentera Hamas iaitu Abdullah Azzam dan Briged Almujahidun Alfilistiniyun (Mujahidin Palestin).

Antara aktivis Hamas yang terlibat dalam penubuhan Briged al-Qassam di Tebing Barat dan Gaza ialah syahid Imad Aqel, Salah Shehadah, Yahya Ayyash serta Ketua Komander Briged al-Qassam, Mohamad Deif. Briged ini merupakan sayap bersenjata Hamas untuk menggalas tanggungjawab melaksanakan operasi ketenteraan terhadap pencerobohan Israel di Palestin. Namun, aktiviti-aktiviti pejuang al- Qassam mengambil masa yang lama untuk berkembang.

Briged al-Qassam bermula dengan kumpulan tentera dalam bilangan kecil yang terdapat di seluruh Palestin. Setiap kumpulan turut terdiri daripada beberapa pejuang Palestin (biasanya 4-5 orang) yang hanya menggunakan senjata primitif seperti pisau dan pistol untuk menyerang sasaran utama iaitu tentera Israel.

 

As-Syahid Aqel dan Ayyash pejuang hebat

Salah seorang pejuang al-Qassam yang paling penting pada peringkat permulaan (awal 1990-an) adalah Imad Aqel yang terbunuh dalam pertempuran pada 1993 ketika beliau berusia 22 tahun. Aqel berjaya melaksanakan beberapa operasi menentang tentera Israel dengan hanya bersenjatakan pistol!

Menjelang pertengahan 1990-an, al-Qassam memperkenalkan kereta peledak dan pelbagai bahan letupan dalam usaha menentang Israel. Seorang lagi pemimpin al- Qassam paling berpengaruh ialah as-syahid Yahya Ayyash (1994 dan 1995) yang merupakan seorang jurutera profesional. Ayyash amat mahir dalam mencipta bahan letupan dan disebabkan itu beliau digelar ‘jurutera’ dan dikenali oleh hampir seluruh rakyat Palestin.

Pada akhir 1990-an, Israel mengharapkan pihak berkuasa Palestin (PA) yang baru ditubuhkan untuk mengekang Hamas dan sayap tenteranya Briged al-Qassam. Selama bertahun-tahun, PA menjalankan tugas ini dengan cekap. Beratus ahli Hamas dan al-Qassam ditahan serta disoal siasat. Malah, ramai antara mereka turut terbunuh ketika berada di dalam penjara PA berikutan soal siasat yang kejam. Bagaimanapun, tindakan keras ini gagal melenyapkan Briged al-Qassam.

Menjelang tahun 2000, Intifada Kedua tercetus di Tebing Barat dan Gaza. Briged al-Qassam telah memberi harapan terhadap impian rakyat Palestin dengan mempertingkatkan perjuangan mereka melalui pelbagai taktik dan keupayaan terkini.

Salah satu pencapaian terbaik al-Qassam ialah dengan memperkenalkan roket buatan sendiri pada tahun 2001. Briged al-Qassam sedar akan keperluan untuk memperkenalkan cara yang lebih berkesan dalam membantu perjuangan mereka, justeru juruteranya ditugaskan untuk mencipta roket kecil serta senjata yang mampu mengenai tepat ke arah sasaran iaitu Israel.

Adnan Alghoul merupakan individu terpenting yang membantu mencipta roket tersebut sebelum beliau terbunuh dalam serangan udara yang dilakukan Israel pada tahun 2002.

Memandangkan Intifada Kedua menghampiri kejayaan, Briged al-Qassam terus mempelbagaikan taktik dan meningkatkan keupayaan senjata mereka. Malah, Briged al-Qassam juga berjaya merekrut beratus-ratus pemuda Palestin dalam membantu perjuangan menentang Israel.

Sepanjang beberapa tahun selepas tercetusnya Intifada Kedua, berpuluh-puluh pemimpin al-Qassam termasuk beberapa ahli pengasas telah syahid. Salah Shehadeh yang merupakan ahli kanan pengasas turut terkorban dalam serangan tentera udara Israel yang dilancarkan pada 2002. Dalam serangan itu, 17 yang lain turut terbunuh yang mana kebanyakannya adalah ahli keluarga Shehadah. Sekurang-kurangnya lebih satu tan bahan letupan digunakan dalam serangan tersebut.

Pada pertengahan 2005, perjuangan bersenjata menyebabkan pengunduran Israel dari Semenanjung Gaza, sekali gus menjadikan Gaza tanah Palestin pertama yang dibebaskan secara paksaan oleh pejuang bersenjata. Selang beberapa tahun berikutnya, Briged al-Qassam berjaya membentuk sebuah organisasi ketenteraan pejuang yang dianggarkan melebihi 20,000 orang. Puak pejuang lain seperti al-Quds dan Briged Naser Salahidin juga dianggarkan mempunyai beribu-ribu askar pejuang yang lain.

 

Sentiasa bersedia hadapi serangan

Selepas pengunduran Israel dari Gaza pada 2005, rakyat Palestin di Gaza terus bertindak balas terhadap serangan Israel yang tidak henti-henti ke atas mereka dengan cara menyasarkan roket ke penempatan Israel berhampiran Gaza. Malah, serangan Israel ke atas Gaza pada 2008/2009 benar-benar menguji keupayaan al- Qassam apabila tentera Israel dan pihak Hamas gagal mencapai sebarang persetujuan.

Pada November 2012, serangan Israel kali kedua ke atas Gaza membuktikan bahawa Briged al-Qassam telah bersedia. Peperangan yang dicetuskan Israel dengan melakukan pembunuhan terhadap Ketua Komander Briged al-Qassam, Ahmad Jabari tidak bertahan lama apabila Hamas mendapat sokongan politik daripada Mesir yang ketika itu di bawah pentadbiran Morsi.

Pada peperangan itu, Briged al-Qassam mendedahkan roket M75 ciptaan mereka (sempena nama pemimpin kanan Hamas Dr. Ibrahim Maqadmah yang dibunuh pada 2004 dalam serangan udara Israel). Roket M75 tersebut tanpa diduga telah mengakibatkan kerosakan teruk di tengah-tengah bandar Tel Aviv. Ia adalah sesuatu yang tidak dijangka oleh Israel dalam tempoh sedekad! Dua tahun kemudian, Israel melakukan eksploitasi serantau (diikuti rampasan kuasa di Mesir pada 2013), sekali gus menjadi alasan untuk memulakan peperangan baru ke atas Gaza.

Dalam perang ini, yang dinamakan Al-Asf Al-Ma’kul oleh Hamas, Briged al-Qassam membuat kejutan dengan memperkenalkan beberapa peralatan canggih terkini. Antara senjata buatan sendiri yang digunakan al-Qassam iaitu roket R160 (dinamakan sempena pemimpin Hamas, Dr. Abdul Aziz Rantisi yang dibunuh Israel pada 2004) mampu mencapai sasaran dalam jarak jauh sehingga ke Haifa. Ia merupakan sebahagian daripada ciptaan berteknologi tinggi yang dihasilkan al-Qassam selain kapal terbang pengintip Ababil.

Pada masa sama, Briged al-Qassam juga cemerlang dari sudut perang psikologi termasuk menerusi perang siber dan terowong serta Komando Tentera Laut Qassam. Berakhirnya peperangan ke atas Gaza, Israel kehilangan beratus-ratus askar elit terutama dari kumpulan Givati dan Golani. Perkembangan drastik Briged al-Qassam ini membuktikan bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan!

Walaupun Briged al-Qassam berjaya mencipta beberapa kejayaan besar dalam perjuangannya, namun mampu mengamalkan akhlak mulia sepanjang tempoh yang sukar adalah pencapaian paling berharga. Ini terbukti apabila Briged al-Qassam mengendalikan askar tawanan Israel iaitu Gilad Shalit secara profesional selama lima tahun yang seterusnya ditukarkan dengan 1,000 tahanan Palestin.

Ia juga menunjukkan bahawa pejuang memiliki tahap moral yang tinggi dan hanya menyasarkan tentera sepanjang peperangan yang tercetus, sementara Israel yang mempunyai senjata paling berteknologi canggih sewenang-wenangnya membunuh orang awam dan kadang-kadang ia disengajakan! Seandainya perjuangan al-Qassam dan kumpulan penentang Palestin yang lain berterusan, masyarakat di seluruh dunia seharusnya turut sama-sama menyokong dan mempertahankan perjuangan mereka.

PENULIS ialah Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM)

- See more at: http://m.utusan.com.my/rencana/al-qassam-harapan-rakyat-palestin-1.66025#sthash.6ae1TI7e.dpuf

Comments

Popular Posts